Menterinya, Maszlee Malik berkata, laporan yang diterima daripada Education Malaysia Australia malam ini menunjukkan kesemua penuntut Malaysia di kawasan Townsville, Queensland selamat.

"Education Malaysia Australia, KPM akan terus berhubung dengan pelajar-pelajar Malaysia dan akan terus memberikan segala sokongan yang diperlukan.

"Saya juga mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua pelajar dan rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir buruk ini," katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra atas sokongan yang diberikan dalam menjaga kebajikan penuntut-penuntut Malaysia di kawasan yang dilanda banjir.

Sebelum ini dalam satu kenyataan Wisma Putra berkata, risiko di kawasan terjejas adalah tinggi kerana hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.

Banjir itu yang disifatkan berlaku "sekali dalam seabad" berpunca daripada hujan lebat tidak normal semasa musim tengkujuh dan memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing kerana hujan lebat dijangka berterusan. - Bernama