Beliau menambah, pengetua sekolah berkenaan memaklumkan pemasangan CCTV hanya melibatkan bahagian luar bangunan, namun perkara itu berkemungkinan menimbulkan salah faham pihak penjaga. 

"CCTV itu hanya menghala ke arah laluan keluar masuk bangunan asrama atas faktor keselamatan. Tidak ada yang dipasang dalam bilik," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Tajuddin diminta mengulas dakwaan penjaga pelajar sekolah itu dalam Twitter mengenai pemasangan CCTV yang dikhuatiri menganggu privasi dan aurat pelajar kerana terdapat pengawal keselamatan lelaki yang boleh melihat rakaman itu.

Lelaki berkenaan yang memuat naik status itu semalam, turut menyisipkannya kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Shefura Othman.

Pada perkembangan lain, Tajuddin mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak di Jerantut ditutup selama lima hari bermula esok (23 Julai) selepas 53 pelajarnya dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).  

Katanya, penutupan sekolah yang mempunyai bilangan pelajar seramai 368 orang itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Pahang bagi mengelak penularannya kepada murid lain. - Bernama