Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran delegasi itu tidak bermaksud kerajaan cuba menjalinkan hubungan dengan Israel kerana kehadiran atas jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kedatangan delegasi Israel berdasarkan jemputan PBB, bukan Kerajaan Malaysia, tidak timbul isu Malaysia jalin hubungan dengan Israel secara senyap.

“Status Malaysia dan Israel tidak akan berubah. Sehubungan itu, kehadiran peserta Israel tidak wajar dilihat sebagai usaha Malaysia mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan lisan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang mempersoalkan pendirian PBB yang mengecam Israel membuka penempatan haram di Palestin tetapi bertindak menjemput delegasi Israel untuk menghadiri WUF9 pada bulan lalu. - K! ONLINE