Beliau berkata, cadangan yang bakal dibuat adalah menambah keluasan saiz rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 900 kaki persegi daripada 600 kaki persegi sebelum ini.

"Saya tidak  mahu rumah PPR dan rumah untuk B40 ini konsep duduk di rumah ibarat sangkar  burungkecil, jadi saya cadangkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) nanti rumah yang selesa dengan rumah yang disediakan lebih besar sikit, katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Kumpulan  B40 terdiri daripada kumpulan isi rumah  berpendapatan 40 peratus terendah dengan memperoleh RM3,000 bulanan ke bawah.

"Bilik, ruang  tamu dan koridor mestilah selesa. Kemudahan yang lengkap seperti tempat riadah, surau, dewan, perpustakaan, semua ini kena lengkap untuk mereka supaya ada ruang untuk berekreasi dan rehatkan minda dalam kelompok sendiri tanpa perlu pergi jauh. Kita mahu mereka rasa selesa dengan persekitaran mereka dan komuniti akan sentiasa berkomunikasi dalam kelompok sendiri," katanya. - Bernama