Beliau berkata, sebaliknya proses pelantikan itu akan dibuat mengikut prosedur sedia ada yang telah ditetapkan oleh Wisma Putra.

"Bagi pelantikan selepas ini, kami buka kepada mana-mana pegawai tinggi (kerajaan), sesiapa yang berminat mereka boleh cuba memohon untuk jawatan ini.

"... dan saringan akan dilakukan oleh pegawai tertinggi kementerian sebelum nama calon duta itu diputuskan oleh saya," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel jemputan dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai status beberapa ahli politik yang dilantik menjadi duta oleh kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu itu telah pun diselesaikan secara baik sebelum beliau dilantik menjadi menteri.

"Saya dimaklumkan kes itu telah pun diselesaikan dan dibuat tanpa campur tangan daripada pihak saya. Seorang telah pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi akan balik (ke Malaysia)," katanya.

Sebelum ini, kontrak bekas Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah ditamatkan empat bulan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya iaitu pada Oktober depan.

Duta ke Vatican City, Tan Sri Bernard Dompok dilaporkan telah pulang ke negara ini selepas mendapat arahan daripada Wisma Putra.

"Kami melihat (jawatan) Duta Besar ini amat penting sebagai wakil negara, kami mahu pelantikan  mereka ini biarlah mengikut kelayakan yang sepatutnya bukan sahaja dari segi taraf pendidikan tetapi juga kemahiran berbahasa mengikut negara berkenaan," tambah Saifuddin. - Bernama