Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan susulan hari ini berkata, sehingga 31 Mei lepas, kutipan tol berkenaan dibuat oleh PLUS bagi pihak Metramac yang merupakan pemegang konsesi bagi lebuh raya berkenaan. 

"Berkuat kuasa 1 Jun 2018, tiada lagi bayaran tol dikutip oleh PLUS bagi pihak Metramac. Pemberhentian kutipan tol ini adalah berikutan berakhirnya konsesi Lebuh Raya Metramac semalam (31 Mac) seperti dijadualkan," katanya.

Sehubungan itu, dengan penamatan tempoh konsesi itu, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuhraya PLUS ke destinasi Utara sehingga Juru atau destinasi Selatan sehingga Skudai dikurangkan di antara 40 sen sehingga RM1.70 bergantung pada kelas kenderaan.  

"Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari. Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja," kata kenyataan itu. - Bernama