Beliau berkata, pelantikan itu dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan berdasarkan amalan pelantikan sejak daripada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Yang pasti cara lantikan adalah daripada amalan sejak zaman berzaman daripada pentadbiran dahulu dan semuanya melalui proses yang sama jadi tidak perlu apa-apa kajian.

"Ini kerana pelantikan dibuat dengan mematuhi segala peraturan. Nama calon yang ingin dilantik boleh dicadangkan dan kita boleh mempertimbangkannya " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.

Pelantikan Rania Zara Medina yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Trans Woman 2017 sebagai ahli CCM mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan beberapa pihak yang menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang juga pengerusi CCM dilaporkan berkata, sebagai keperluan Global Fund anggota CCM terdiri daripada 25 orang yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil komuniti daripada populasi sasar. 

Populasi sasar ini termasuk Transgender, Men-sex-with-men, Female sex worker, 'People who use drug' dan People Living With HIV/AIDS (PLHIV).

CCM di negara ini ditubuhkan atas keputusan Jemaah Menteri pada 2009 untuk menangani penyakit HIV/AIDS melalui sumbangan daripada Global Fund. - Bernama