Pengarahnya Dr. Norazmi Abdullah berkata kejadian sebenar ialah sepasang suami isteri warga Myanmar membawa anak mereka yang berusia sehari keluar tanpa menjelaskan bil hospital. 

Katanya wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dimasukkan ke hospital empat hari lepas sebelum melahirkan anak semalam dan dibenarkan pulang pada hari sama.

"Bagaimanapun mungkin kerana tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil menyebabkan mereka melarikan diri dan ia hanya disedari jururawat pada 6 petang selepas mendapati mereka tidak berada di katil menyebabkan pemeriksaan wad dijalankan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, kos rawatan bersalin untuk warga asing bernilai antara RM2,500 hingga RM7,000, mengikut kelas wad.  

Dr. Norazmi berkata susulan itu, pihaknya membuat laporan polis sebagai prosedur biasa dan menyerahkan perkara tersebut untuk siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner, Othman Nayan mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menunggu laporan daripada pengurusan HTAA untuk siasatan seterusnya. - Bernama