Bangkok bersetuju mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu pada tahun lalu, manakala kotak rokok kosong mula berada di kedai-kedai di Thailand hari ini.

Premis-premis perniagaan diberi tempoh hingga 8 Disember ini untuk menarik semula stok lama atau berdepan denda sehingga 40,000 baht (RM5,444).

Pembungkusan kosong itu termasuk gambar kesan buruk tembakau pada tubuh manusia dan nama jenama rokok dalam tulisan biasa serta  tanpa logo.

Timbalan Pengerusi Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO), Prakit Vathesatogkit berkata, pembungkusan standard termasuk gambar penyakit berkaitan tembakau, akan menjadikan rokok kurang menarik kepada pembeli.

“Bagi golongan tidak merokok seperti kanak-kanak pula, mereka kurang terdorong untuk memulakan tabiat tidak sihat ini,” katanya.

Terdapat lebih 246 juta perokok di Asia Tenggara di mana aktivis-aktivis berkata, harga rokok yang rendah membantu rantau ini menjadi antara pengguna tembakau terbesar dunia.

Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan langkah tersebut dalam tahun 2012, diikuti oleh kebanyakan negara Eropah termasuk Perancis, Hungary dan Britain.

Singapura dijangka melaksanakan langkah serupa tahun depan. - AFP