Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, tawaran buat Mohd. Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51, itu dibuat melalui kaedah tawaran terpilih.

"Keputusan ini dibuat bagi menghargai pengorbanan besar Allahyarham yang terkorban ketika bertugas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Mohd. Kassim dan Asma di rumah mereka di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah di sini hari ini.

Mujahid berkata, semakan yang dilakukan ke atas akaun TH ibu bapa Allahyarham mendapati mereka mendaftar pada tahun 2009 dan mempunyai senarai tempoh masa menunggu lagi lima tahun.

"Justeru, kita mahu menawarkan ibadat haji kepada mereka pada musim 2019," ujarnya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, perkara selanjutnya termasuk berkaitan kos keseluruhan akan dibincangkan kemudian.

Dalam pada itu, Mohd. Kassim bersyukur apabila berpeluang menunaikan haji pada tahun hadapan.

"Saya rasa seronok apabila diberitahu tentang tawaran ini kerana semua yang mendaftar sudah pasti tidak sabar untuk menunggu giliran menunaikan haji," katanya. - K! ONLINE