Babak pertama bermula agak perlahan bagi kedua-dua pasukan yang masih tercari-cari rentak permainan. 

Selepas beberapa cubaan menerjah gawang Felcra FC, gol pertama buat skuad Penyu hadir menerusi rembatan kencang penyerang, Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-20. 

Mohamad Ashari sekali lagi cuba mencari peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-35 namun sepakannya sekadar terkena tiang. 

Bersambung babak kedua, skuad Penyu tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua pasukan sekali lagi menerusi sentuhan Mohammad Ashari yang tepat menerjah ke gawang lawan pada minit ke-46. 

Sepakan penalti Felcra FC pada minit ke-53 yang diambil kapten pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam berjaya ditepis penjaga gol TFC 1, Mohd. Suffian Rahman Kungi Raman. 

Berselang enam minit kemudian, Felcra FC meraih gol pertama menerusi sepakan Mohd. Alif Samsudin. 

Felcra FC berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pemain gantian, Abdul Azim Rahim pada minit ke-89. - K! ONLINE