Suruhanjaya Tenaga (ST) mengeluarkan amaran itu susulan berlaku kes kemalangan renjatan elektrik kepada empat orang awam ketika memasang tiang bendera sebuah parti di Muar, Johor, Ahad lepas.

ST dalam kenyataan berkata aktiviti berhampiran pepasangan elektrik boleh menyebabkan terjadi renjatan elektrik atau percikan arka serta menyalahi peruntukan mengikut Seksyen 37(12) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"ST melarang pihak-pihak yang terlibat dengan kempen pilihan raya untuk menggantung bahan kempen pada tiang elektrik, menampal poster pada pencawang elektrik, peti membekal dan tiang elektrik, mendirikan tiang atau objek tinggi berdekatan atau di bawah talian elektrik," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut melarang pihak-pihak ini memanjat menara atau tiang elektrik, membawa objek tinggi seperti galah atau kayu panjang berhampiran atau melintasi tiang elektrik, menggunakan kren atau 'skylift' berhampiran pepasangan elektrik,  selain membuka khemah atau pusat gerakan di bawah talian elektrik.

Selain itu, pemasangan bendera atau sepanduk besar berhampiran talian elektrik juga dilarang kerana dikhuatiri ia terputus atau tersentuh talian elektrik ketika angin kuat atau ribut. - Bernama