Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu setelah berpuas hati dengan kes prima facie yang berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Luqman didakwa membunuh Hassan A. Wahab, 70, dan isteri mangsa, Mariah Baharin, 62, serta anak lelaki tunggal pasangan itu, Mohammad Taufeq, 22.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mendatangkan kecederaan dengan menetak tubuh dua anak perempuan pasangan terbabit, Noor Haz­linda Diyana, 27, dan Nuraqedah Aeina, 24, menggunakan sebilah parang panjang yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi dua pertuduhan tersebut, Luqman Hadi didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara pukul 5.50 pagi dan 6.15 pagi di sebuah rumah di Kilometer 7.2, Kampung Bertam Malim, di sini pada 25 Ogos 2016.

Ahmad Nasfy pada penghakimannya berkata, pihak pembelaan bagaimanapun telah mengemukakan laporan daripada psikatrik yang antara lain menyebut bahawa semasa kejadian tertuduh berada dalam keadaan tidak siuman. 

Beliau kemudian menetapkan tarikh 17 dan 18 Julai depan untuk mendengar pembelaan tertuduh dan seorang pakar psikatrik akan dipanggil untuk memberi keterangan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd. Rosli dan Mazuin Hashim manakala tertuduh diwakili Peguam Fahmy Sulaiman. 

Kosmo! pada 26 Ogos 2016 melaporkan tiga beranak termasuk sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai dikelar seorang pemuda yang merupakan ahli keluarga angkat mangsa di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim.

Mayat Hasan dan isterinya ditemukan di dalam bilik tidur berasingan manakala anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Taufeq pula dijumpai di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 6.45 pagi oleh penduduk kampung. - K! ONLINE