Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, situasi ini sekali gus memperlihatkan ada kalangan pasangan Islam di negeri ini yang kurang pengetahuan dan jahil mengenai ilmu perkahwinan hingga hal sebegitu remeh boleh menjadi punca perceraian.

"Kerajaan Terengganu dengan ini akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah perceraian dalam kalangan umat Islam di negeri ini termasuk memperkemaskan modul keluarga Islam untuk diterapkan kepada masyarakat.

"Kerjasama antara Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera dan Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) juga akan dilakukan bagi menilai semula 10 modul pelaksanaan program pembangunan keluarga Islam bagi menyokong usaha itu," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu menjawab pertanyaan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) yang ingin tahu apakah punca perceraian dan keberkesanan program-program yang diatur bagi mengatasi masalah itu di negeri ini. - Bernama