Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, proses bedah siasat yang dijalankan sejak pukul 11.45 pagi tadi masih belum selesai sehingga kini.

"Sehingga sekarang kini masih belum selesai dan pihak kami belum menerima keputusan hasil bedah siasat tersebut.

"Saya tidak dapat memastikan sehingga pukul berapa bedah siasat yang dikendalikan oleh sekumpulan pakar patologi itu akan selesai," katanya dalam satu sidang akhbar di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebentar tadi.

Beliau membaritahu, proses bedah siasat itu dikendalikan oleh Pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Siew Sheue Feng bersama Dr. Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) serta turut dibantu oleh pihak Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik Petaling Jaya iaitu Dr. Aidora Saedon dan Sufian Arshad Ahmad.

Katanya, sebuah sidang akhbar berkaitan kes tersebut akan diadakan esok (15 Ogos).

Terdahulu, Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana yang dipercayai terlibat dalam proses bedah siasat Nora Anne dilihat keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban kira-kira pukul 7.50 malam

Semalam, mayat Nora Anne ditemui pada pukul 1.57 tengah hari berhampiran lurah sungai iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi resort yang disewa keluarganya.

Remaja itu dilaporkan hilang 4 Ogos lalu kira-kira pukul 7.30 pagi dari bilik tempat resort yang didiami oleh keluarga mangsa.

Keluarga Nora Anne sebelum ini turut menawarkan RM50,000 kepada pihak yang memberi maklumat sehingga anaknya ditemui. - K! ONLINE