Harimau dewasa yang beratnya lebih 90 kilogram itu cuba mencari kawasan kering selepas Taman Negara Kaziranga di negeri Assam digenangi air banjir akibat hujan lebat.

Binatang buas itu hampir hendak melintas sebuah lebuh raya berdekatan tetapi mengubah hala lalu melompat masuk ke dalam  kedai seorang penjual barangan lusuh.

“Pemilik kedai bersiap hendak membuka kedainya pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) apabila dia melihat harimau itu melompat. 

“Salah satu pintu kedai itu terbuka dan suasana di dalamnya gelap. Harimau itu kemudian memutuskan untuk berbaring di atas katil,”  kata Bhaskar Choudhury merangkap ketua ahli veterinar pertubuhan bukan kerajaan, Wildlife Trust of India kepada agensi berita AFP.

Katanya, pertubuhan tersebut tidak akan menembak damak bius tetapi sebaliknya menunggu sehingga waktu senja bagi membolehkan harimau itu beredar dengan sendiri.

Sementara itu, lebih 50 haiwan liar mati termasuk sebilangan yang dilanggar kenderaan ketika cuba melintas sebuah lebuh raya sibuk di luar taman negara itu.

Renjer-renjer hutan dilaporkan menaiki beberapa buah bot untuk mencari dan membawa keluar haiwan yang cedera atau terkandas di taman hidupan liar tersebut.

“Sudah lama Taman Negara Kaziranga tidak dilanda banjir besar seperti ini,” kata renjer hutan, Pradut Goswami told AFP.

Banjir itu  yang memasuki minggu kedua, mengakibatkan  sekurang-kurangnya 27 orang terkorban di Assam, manakala sejumlah kediaman serta bot hanyut dibawa air deras. - AFP