Sebaliknya, menurut mangsa, Abd. Wahab Yahaya, 56, kejadian tersebut merupakan satu hikmah yang paling besar yang terjadi dalam hidupnya.

Jelasnya, tiada sebarang kekesalan terbit dalam hatinya meskipun terkandas dalam tempoh yang lama di negara tersebut malah, dia memperoleh rakan-rakan warga Thailand yang banyak membantu memudahkan urusan di negara tersebut.

“Terus-terang, saya amat bersimpati dengan isteri kepada pejalan kaki yang maut itu. Isterinya kini sedang mengandung dan dijangka melahirkan anaknya pada  tahun ini.

“Atas rasa tanggungjawab, saya berhasrat untuk mengambil anak mereka sebagai anak angkat. Ia merupakan satu keputusan yang amat besar buat saya untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Abd. Wahab dan keluarga tiba di KLIA2 kira-kira pukul 8.26 malam sebelum mereka pulang ke rumah di Klang, Selangor.

Kosmo Online! baru-baru ini melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam pada 19 Disember lalu, Abd. Wahab dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, yang menunggang sebuah motosikal dipercayai telah terlanggar seorang pejalan kaki di Jalan Aonang di Krabi ketika datang bercuti di pusat peranginan tersebut.

Berdasarkan undang-undang di negara itu, penunggang motosikal atau pemandu kende­raan adalah didapati bersalah jika terlibat dalam kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Ekoran kejadian itu, lelaki itu maut manakala Abd. Wahab cedera di bahagian mulut selain perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Abd Wahab juga perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu.

Dalam pada itu, menurut Abd. Wahab, dia mendapat kebenaran dari mahkamah di Krabi untuk pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan susulan di negara ini.

“Walaupun mahkamah di Krabi membenarkan saya pulang namun, saya perlu kembali ke Thailand dalam tempoh 12 hari.

“Semoga kes ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan saya berharap rakyat Malaysia terus mendoakan urusan ini dipermudahkan,” katanya. - K! ONLINE