Menurutnya, BN tidak boleh mempunyai rakan yang membebankan dan tidak mahu memikul beban kekalahan dalam keadaan parti itu berada pada kedudukan paling susut dalam perjalanan politiknya.

"BN bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya, BN perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik. Ia tewas bukan kerana falsafah dan ideologinya tersasar, tetapi kerana pemimpinnya khilaf.

"MCA gagal memahami ini. Maka kepada MCA, tinggalkan saja BN dan biarkan kami yang lain, melalui kepayahan untuk `menghidup-hidupi' ia. Insya-Allah, suatu ketika nanti, kami akan buktikan MCA salah dalam perhitungannya," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Perhimpunan Agung MCA ke-65 yang berlangsung semalam sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Terdahulu, Mohamad berkata, keputusan perwakilan MCA mahu membubarkan BN tidak sukar untuk difahami kerana ia sesuatu yang dijangka memandangkan sentimen negatif terhadap BN menebal dalam kalangan ahli MCA pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU). - K! ONLINE