Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr. Sahruddin Jamal berkata, daripada jumlah itu, 21 dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), enam ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang manakala tiga lagi dirawat di Hospital Penawar dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Dua mangsa di HSI diberi bantuan pernafasan untuk mencegah kejadian yang lebih buruk kerana apabila terkena bahan kimia, saluran pernafasan boleh tersumbat," katanya.

Beliau berkata, sampel pencemaran di sungai berkenaan telah pun diambil pihak HAZMAT Bomba dan JAS negeri pagi tadi untuk dianalisa.

Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu, beliau berkata individu atau pihak yang berkenaan masih belum dikenalpasti. - Bernama