Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, isu berkenaan kini telah menjadi tular di media sosial sejak 5 Februari lalu.

"Selaku Menteri Pertahanan, saya mengambil maklum dan pihak Tentera Darat sedang melakukan siasatan segera serta akan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut.

"Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang perlindungan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, semua pihak diharap bersabar dan berhenti membuat dakwaan berhubung kejadian tersebut demi menjaga nama baik Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia secara amnya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 1 minit lapan saat tular di media sosial sejak 5 Februari lalu memaparkan tindakan seorang individu lelaki yang didakwa sebagai pegawai kanan Tentera Darat menumbuk seorang anggota tentera lengkap bersenjata.

Berdasarkan rakaman video tersebut, seorang lelaki memakai baju biru dan berseluar putih pada awalnya dilihat mendekati anggota tentera berkenaan seperti sedang memarahinya sebelum bertindak melepaskan satu tumbukan dengan menggunakan tangan kanan tepat ke muka anggota tentera itu.

Anggota tentera tersebut kemudiannya dilihat tidak melawan sebaliknya bertindak menjauhkan diri dari lelaki berkenaan. - K! ONLINE