Tengku Maimun, yang ditemui pemberita selepas istiadat penganugerahan itu di Istana Negara, berkata beliau akan meneruskan agenda penambahbaikan (reform) dalam sistem kehakiman yang telah diusahakan  penyandang jawatan itu sebelum ini. 

"Saya akan teruskan dengan apa reform yang telah diusahakan atau dimulakan oleh pendahulu saya Tan Sri Richard Malanjum sebelum kita teruskan reform yang baharu," katanya.  

Tengku Maimun yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 sempena  sambutan  Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun merupakan antara tiga tokoh yang menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri. - Bernama