Istana Kelantan dalam satu kenyataan menjelaskan, baginda bersama isteri melakukan lawatan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Hakim Danial Razali, 17, yang terlantar akibat ketumbuhan dalam otak.

Lawatan berkenaan adalah yang pertama bagi pasangan diraja itu selepas mereka melangsungkan perkahwinan pada Jumaat lalu.

Hadir sama mengiringi baginda, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Sementara itu, ibu kepada pelajar berkenaan, Zainab Awang, 65, berkata, keluarganya berasa terharu menerima kunjungan daripada Tengku Mahkota dan isteri.

Katanya, Hakim Danial adalah anak bongsunya dan menderita penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan akan menjalani rawatan kemoterapi 30 kali bermula Mei depan.

"Alhamdulillah...ramai pihak yang prihatin termasuk Tengku Mahkota yang sudi hadir ke sini," katanya. - Bernama