Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin @ Boy Acho di Mahkamah Majistret di sini bermula esok hingga Khamis depan.

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 36 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, suspek itu telah direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu sehingga hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, dua lagi suspek iaitu wanita Nigeria dan lelaki Pakistan yang sebelum ini direman untuk membantu siasatan kes itu turut disambung selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, misteri kehilangan seorang Ketua Jururawat Hospital Serdang sejak 8 Mei lalu akhirnya terjawab apabila mayat wanita itu ditemui di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya dekat sini.

Penemuan mayat Siti Kharina terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit kira-kira pukul 2.30 petang.

Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek utama menerusi laman sosial sejak beberapa tahun lalu.

Polis juga mendapati, mangsa dan suspek saling mengenali satu sama lain sebelum lelaki warga Nigeria itu memasuki negara ini awal Januari lalu. - K! ONLINE