Perintah reman sehingga 24 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mohd. Firdaus Saleh terhadap suspek berusia 38 tahun berkenaan.

Suspek sebelum ini direman bersama seorang lagi individu yang merupakan kontraktor selama tujuh hari bermula 16 Mei lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagaimanapun kontraktor terbabit dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 dan bon berjumlah RM47,000 serta seorang penjamin.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan pada 15 Mei lalu di pejabat SPRM Melaka selepas dipercayai bersubahat untuk membuat tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan barangan keperluan latihan pasukan ragbi di pusat pengajian tersebut pada tahun 2014 berjumlah RM14,400.

Siasatan awal yang dijalankan SPRM mendapati, tuntutan palsu itu turut dibuat sepanjang tempoh antara 2014 sehingga 2018 dengan anggaran jumlah keseluruhan bernilai RM204,344.21. - K! ONLINE