Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan kawasan pembangunan di atas tanah seluas 22 hektar itu selari dengan usaha menjadikan daerah tersebut sebagai destinasi pelancongan dengan kerjasama swasta.

"Bagan Datuk mempunyai produk pelancongan yang unik blue tears atau plankton biru yang hanya terdapat di tujuh lokasi di seluruh dunia. 

"Walaupun belum dipromosikan, blue tears tersebut berjaya menarik kira-kira 300 pelancong dari China setiap minggu sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan di Bagan Datuk kelak," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Teedo Resort di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Urusan Nour Hotel and Resorts, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid. 

Tambah Ahmad Zahid, daerah Bagan Datuk juga memiliki Sky Mirror berhampiran Beting Beras Basah iaitu sebuah kawasan yang akan memantulkan kembali apa sahaja yang terdapat di langit dan kawasan tersebut termasuk salah satu daripada 11 lokasi di seluruh dunia. 

Sementara itu, Nurulhidayah berkata, Teedo Resorts yang terletak di hadapan Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk itu dibina dengan kos RM70 juta dan bakal siap sepenuhnya pada 2020. 

"Di kawasan tersebut juga akan dibangunkan sebuah Maahad Tahfiz Darul Ridzuan, pasar raya mega, zon komersial serta sebuah taman tema tertutup. 

"Penduduk Bagan Datuk dan kawasan sekitarnya akan mendapat manfaatnya apabila kira-kira 10,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan selepas kawasan tersebut siap sepenuhnya," katanya. - K! ONLINE