Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata sumbangan kerajaan itu tidak akan dilanjutkan kepada isteri kedua, ketiga atau keempat sekiranya berlaku perkahwinan poligami. 

"Itu tanggungjawab suami, kita akan bagi kepada isteri pertama sahaja...kalau mereka (lelaki) kahwin lebih daripada satu, mereka kena tanggung sendiri buat isteri lain bukan tugas itu diserahkan kepada kerajaan.

"Inisiatif membantu persediaan perlindungan masa depan isteri dan caruman ini dijangka dapat jadi tabungan bagi siapkan suri rumah menghadapi apa-apa kemungkinan yang tidak diingini untuk teruskan kelangsungan hidup," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Ghazali (PAS - Kuala Nerus) yang ingin tahu berkenaan pelaksanaan caruman KWSP untuk isteri atau wanita.

Dr. Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata memorandum mengenai skim itu sudah siap dan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang. 

Skim tersebut adalah antara tawaran manifesto 100 hari kerajaan Pakatan Harapan, dijangka bermula dengan sumbangan sukarela yang kemudiannya akan diwajibkan setelah pindaan kepada Akta KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaksana. - Bernama