Tertuduh, Tan Teo Liong, 56, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan, Teo Liong didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM5,000 kepada seorang penolong pengarah operasi Jabatan Perhutanan Terengganu di sebuah kilang kayu, MJ Wood Industries, Kampung Bintang, Setiu pada pukul 1.30 petang, 2 April lalu.

Pemberian suapan tersebut didakwa sebagai dorongan agar pegawai itu tidak mengambil tindakan terhadap kayu bulat milik tertuduh yang tidak mempunyai cop tanda tukul Jabatan Perhutanan.

Ketiadaan cop tanda tukul tersebut pada kayu bulat terbabit merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

Teo Liong didakwa mengikut Seksyen  17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi. - K! ONLINE