Pengasasnya, Yong Kheng Chien berkata, tarian selama 10 minit yang menonjolkan dua ekor anjing comel itu merupakan kelainan pertama yang dilakukan oleh pihaknya sejak persatuan tersebut ditubuhkan 23 tahun lalu.

"Kostum yang berharga RM3,000 setiap satu itu didatangkan khas dari negara China dan dibuat oleh tukang yang berpengalaman di negara berkenaan.

"Berbanding tarian naga dan singa yang lincah dan pantas, pergerakan dan rentak tarian anjing lebih perlahan sesuai dengan personaliti haiwan tersebut yang digambarkan comel, manja serta mesra kanak-kanak," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bachang di sini baru-baru ini.

Menurut Keng Chien, setiap bahagian pada kostum yang direka itu mempunyai maksud tersendiri antaranya telinga anjing dan topi yang diwarnakan emas membawa maksud keuntungan.

Katanya, walaupun tarian tersebut berbeza namun pihaknya masih mengekalkan 'pantang larang' dan kepercayaan agama mereka sebelum dan semasa mengadakan persembahan.

Jelas beliau, masyarakat Cina khususnya percaya zodiak anjing pada tahun ini akan membawa tuah, kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka sepanjang tahun.

Sementara itu, bagi penari Ng Li Yan, 13, setiap tarian mempunyai cabaran tersendiri dan mereka perlu mengikut 'langkah' yang telah ditetapkan dalam mempersembahkan tarian yang berkualiti.

"Latihan yang konsisten dan komunikasi yang baik dengan pasangan penting dalam mencari keserasian. Saya berasa puas melihat orang ramai gembira dengan tarian yang kami persembahkan," katanya yang pernah memenangi tempat kedua pertandingan tarian singa peringkat sekolah-sekolah Johor pada tahun lalu. - K! ONLINE