Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, fungsi itu adalah tuntutan semasa dan wajar dalam memelihara dan memupuk tradisi.

Sebagai contoh, baginda merujuk kepada isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang dilihat mampu menggugat kedaulatan negara.

"Jadi di sinilah letaknya keperluan fleksibiliti dalam usaha melaksanakan sesuatu dasar dan penentuan tindakan," titah baginda semasa berucap merasmikan Kolokium Diraja 'Daulat Tuanku' di Muzium Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Pahang. - Bernama