Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pihak pendakwaan ketika sebutan semula kes tersebut di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi. 

Tommy dalam hujahannya semasa prosiding berkata, Jabatan Peguam Negara akan menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop berhubung perkara itu bagi membolehkan perbicaraan kes jenayah itu boleh didengar selepas 22 Februari ini.

Sepatutnya hari ini adalah ditetapkan hari pertama perbicaraan namun Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan

"Kami memohon supaya perbicaraan yang sudah ditetapkan hari ini dilapangkan, tetapi tarikh pada 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac di kekalkan. Ini kerana kami yakin bahawa rayuan oleh tertuduh di Mahkamah Rayuan boleh diputuskan sebelum tarikh itu (25 Februari), " kata Tommy. 

Dalam prosiding itu, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.   

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini untuk pengurusan kes selanjutnya. 

Semalam, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta SRC dihadapinya.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmadi Asmawi dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan Najib yang diwakili peguam Muhammad Shafee untuk perbicaraan itu ditangguhkan sementara. - K! ONLINE