Katanya, keadaan semasa yang mendesak menuntut beliau dan pimpinan utama kementerian memerah segenap potensi menguruskan isu berkenaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin sepertimana yang dinyatakan di dalam manifesto pilihan raya.

Beliau berkata kenaikan harga barang bukan hanya berkait dengan dasar kerajaan semata-mata sebaliknya turut merangkumi beberapa aspek lain seperti hal ehwal peniaga serta pengguna dan penguatkuasaan.

"Keutamaan saya dalam masa terdekat ialah berganding bahu memerah segenap potensi berfikir untuk mengurus perkara ini dengan baik.

"Dalam hal ini, kita akan pastikan kesatuan pengguna diperkasakan, disiplin berkaitan harga di kalangan peniaga diperkuat dan paling utama menggandakan  penguatkuasaan berpaksikan akta-akta yang diperuntukkan  kepada kementerian," katanya pada sidang media kementeriannya di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin hadir pada majlis penyerahan nota serah tugas oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang turut disaksikan timbalannya Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh.

Ditanya sama ada beliau akan menubuhkan jawatankuasa khas atau sebuah majlis khusus bagi menangani isu kos sara hidup sepertimana dilakukan menteri kabinet lain, Saifuddin berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian buat ketika ini.

Beliau yakin kepimpinan utama kementerian memiliki keupayaan yang mencukupi dalam memerah potensi dan mengembleng tenaga serta kebolehan ke arah merencana tindakan menangani isu yang sekian lama membelenggu masyarakat itu.

"Saya dan timbalan menteri akan memulakan langkah memastikan fungsi dan tanggungjawab kementerian  dapat dipacu ke arah memberi manfaat kepada rakyat, malah optimis pasukan sedia ada juga telah bersiapsiaga menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Beliau mahu satu pasukan yang baik dengan iklim kerja yang kondusif, saling hormat dan mempercayai dapat dibentuk kerana akur keupayannya mengemudi kementerian itu sangat bergantung kepada kerjasama yang diberi oleh kelompok pelaksana iaitu para pegawai dan kakitangan kementerian. - Bernama