Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan 20 lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan, diteruskan hari ini.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB Sutopo Purwo Nugroho berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan 2 petang semalam kerana hujan lebat.
"Empat kejadian tanah runtuh susulan berlaku di kawasan itu semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian pada 5.30 petang Isnin lepas, satu penempatan di Dusun Garehong Desa Sirnaresmi Kecamatan Cisolok Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat, tertimbus akibat kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata dua mangsa yang maut ditemui pada Isnin dan 13 lagi ditemui semalam, dalam kejadian yang menimbus 30 buah rumah itu.

"Kawasan penempatan itu menempatkan 107 penduduk, 15 terkorban setakat ini dan 20 lagi dipercayai masih tertimbus," katanya. - Bernama