Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini memandangkan terdapat implikasi kewangan dari segi kos pembinaan dan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan berikutan tambah keluasan unit kediaman itu.

"Kita sedang teliti dari segi harga di mana boleh berjimat dan memastikan tidak tertiris dan tidak boros," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai justifikasi menambah keluasan unit kediaman PPR serta implikasi kepada harganya.

Zuraida berkata kementerian peka dengan keinginan penduduk khususnya yang mempunyai bilangan isi rumah yang ramai untuk tinggal di kediaman lebih luas dan selesa. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan pusat juga akan membuat polisi supaya kerajaan negeri menyediakan tanah yang luas untuk pembinaan rumah PPR beserta kemudahan asas.

"Dengan syarat sebegini, ia akan turunkan harga dan tidak jejas harga rumah kos rendah," katanya.

Kementerian juga, katanya, akan berbincang dengan Bank Negara  untuk memberi kelonggaran dari segi pinjaman bank dan faedah kepada pemohon rumah PPR. - Bernama