Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, pemilihan Talib yang merupakan bekas tenaga pengajar Kolej Sultan Zainal Abidin yang kini dinaiktaraf sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berikutan sumbangan dan komitmen beliau dalam meninggikan syiar Islam di peringkat negeri dan nasional.

"Beliau pernah menjadi Panel Penggubah Peristilahan Bahasa dan Kesusasteraan Arab Dewan Bahasa dan Pustaka, Ahli Jawatakuasa Penasihat Hal Ehwal Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Penasihat Zakat Maidam dan Ahli Jawatankuasa Panel Penulisan Khutbah negeri.

"Beliau juga banyak menghasilkan penulisan berkaitan hadis, fardu ain, nahu Bahasa Arab, zakat, ibadah dan akhlak selain masih aktif mengendalikan kelas pengajian agama di masjid-masjid sekitar daerah ini dan Setiu," katanya pada sambutan Maal Hijrah 1440H/2018M peringkat Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

A. Rahman berkata, Talib menerima wang tunai RM10,000, tajaan mengerjakan ibadah umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan untuk menyampaikan anugerah berkenaan kepada Talib.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Ismail turut berangkat menghadiri majlis tersebut. - K! ONLINE