"Biarkan pihak berkuasa yang menguruskan isu terbabit. Setiap 47 mangsa berkenaan mempunyai kisah mereka yang tersendiri," katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas melawat Muzium Ranee, di sini hari ini.

Semalam, Fatimah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan menaiki pesawat sewa khas JC International Airlines dari Siem Reap, Kemboja bersama 40 lagi bekas tahanan dari Sarawak menegaskan misi mereka ialah untuk membawa mangsa pulang dan tugasnya sudah selesai dan kini terpulang kepada agensi lain untuk meneruskan apa yang perlu dilakukan.

Fatimah bersama Anggota Parlimen Santubong yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah wakil delegasi kerajaan Sarawak yang dihantar ke Kemboja bagi membuat rundingan pembebasan kesemua tahanan itu.

47 rakyat Malaysia terbabit ditangkap pada 11 Disember lalu kerana disyaki terbabit dalam pengendalian judi haram di negara berkenaan dan ditahan di penjara Poi Pet, Kemboja sebelum dibebaskan semalam.

Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia. – Bernama