Lebih membanggakan, kejayaan itu menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun kem taekwondo negara di pentas Sukan Asia sejak gandingan Lee Pei Fen/Lee Wan Yuen merangkul gangsa dalam acara kyorugi wanita pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Khim Wen berkongsi pingat itu dengan atlet Korea Selatan, Yun Jihye yang turut terkandas pada pusingan separuh akhir.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini, hasrat Khim Wen untuk mencipta kejutan dan mara ke final dileburkan oleh atlet Iran, Salahshouri Marjan.

Khim Wen mengutip 8.300 mata keseluruhan sementara Marjan meraih 8.430 untuk mara ke final dan berdepan atlet tuan rumah Defia Rosmaniar.

Terdahulu, atlet berusia 24 tahun dari Selangor itu mudah mengetepikan cabaran atlet Bahrain, Huda Akbar pada pusingan pertama sebelum sekali lagi menampilkan persembahan cemerlang untuk mengatasi pesaing dari China, Ji Yuhan pada peringkat suku akhir. - Bernama