“Saya dijadualkan berlepas ke Indonesia malam ini  (malam tadi) atas urusan kerja dan akan mengambil peluang itu untuk berjumpa serta berbincang dengan pihak mereka berhubung perkara berkenaan. 

“Ini adalah penting memandangkan kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18 pada Ogos depan.

"Buat masa ini, pihak (keselamatan) Indonesia telah menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan dan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan petang semalam.

Beliau turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa Indonesia dalam mengawal keadaan dan melindungi para pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

 “Indonesia dan Malaysia adalah saudara serumpun bangsa yang memiliki begitu banyak persamaan yang perlu diraikan. 

“Adalah menjadi harapan saya agar penonton dan peminat sukan kedua-dua negara terus menyokong perlawanan akan datang serta menjalinkan kerjasama erat,” jelasnya lagi.

Sebelum itu, menerusi status yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya pagi semalam, Syed Saddiq melahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut.

“Amat menyedihkan. Pihak mereka dah berjanji akan perketatkan kawalan keselamatan untuk perlawanan Sabtu ini.

“Saya akan ke Indonesia malam ini (malam semalam) dan akan pastikan sebaik mungkin bahawa perkara ini tidak akan berulang khususnya bagi Sukan Asia nanti,” katanya.

Syed Saddiq memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin bahawa pihak berkuasa Indonesia akan memberi kerjasama untuk mengawal keselamatan skuad muda negara.

“Pihak berkuasa Indonesia akan lebih memperketatkan kawalan keselamatan ketika sesi latihan dan aksi final pada malam Sabtu,” jelasnya lagi dalam akaun Twitter tersebut.

Pada masa sama, Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyuarakan rasa kesal dengan insiden tersebut.

“Insiden yang amat memalukan. Namun, rakyat Malaysia amat bersabar dan harap tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

“Harap tiada provokasi semasa Sukan Asia nanti,” katanya dalam akaun Twitter miliknya semalam.

Terdahulu, pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodan mendakwa, barisan pemain dan pegawainya berdepan dengan detik mencemaskan apabila mereka dibaling dengan botol minuman dan batu oleh segelintir penyokong Indonesia selepas tamat perlawanan.

Situasi tersebut memaksa Bojan, anak-anak buahnya serta staf kejurulatihan negara berlari masuk ke bilik persalinan untuk mendapatkan perlindungan serta menyelamatkan diri masing-masing.

Pihak berkuasa tempatan terpaksa membentuk bumbung penghalang daripada perisai polis menuju ke bilik persalinan pemain bagi menyelamatkan skuad muda negara.

Beraksi di hadapan lebih 26,000 penyokong Indonesia dalam saingan di Stadium Gelora Delta Sidoarjo itu, anak-anak buah Bojan berjaya menyerap tekanan sepanjang perlawanan berlangsung bagi membolehkan mereka melakar kemenangan dramatik 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi sebenar.

Kejayaan manis itu sekali gus menyaksikan mereka menempah tiket final menentang Myanmar yang mengejutkan pasukan pilihan, Thailand dalam satu lagi aksi semi final.

Sebagai rekod, ia merupakan kali keenam skuad muda negara layak ke pentas final selepas hanya bergelar naib juara pada edisi 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017. - K! ONLINE