Keputusan itu dibuat oleh Hakim D. Sunita Kaur Jessy setelah mendapati pihak defendan, Awan Timur Palm oil Mill Resources (Perak) Sdn. Bhd. melakukan keingkaran kontrak jual beli kelapa sawit yang diuruskan oleh PPK Kampung Gajah.

Hakim memerintahkan syarikat itu membayar jumlah tersebut selepas mendengar keterangan tiga orang saksi bagi pihak plaintif dan seorang saksi daripada pihak defendan.

Wakil syarikat tersebut bagaimanapun tidak hadir sewaktu prosiding dijalankan hari ini.

Peguam bela Hafiz Norkhan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, perintah ganti rugi itu merupakan satu pengajaran buat syarikat membeli dan memproses kelapa sawit agar lebih mematuhi kontrak yang ditetapkan.

Jelasnya, syarikat tersebut mengambil kesempatan terhadap pengusaha dan pekebun kecil di bawah kendalian PPK Kampung Gajah dengan tidak membayar baki hutang sejak Jun 2015.

"Keingkaran syarikat itu merupakan salah satu faktor industri sawit di negara ini semakin teruk. Keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha ladang kelapa sawit terpaksa berhutang untuk meneruskan tanaman mereka.

"Sekiranya tindakan undang-undang tidak ambil, kes seperti ini akan berleluasa sekali gus memberi tekanan kepada pemain industri kelapa sawit," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPK Kampung Gajah, Nurdin Mat Isa berkata, kegagalan Awan Timur Palm oil Mill Resources (Perak) Sdn. Bhd. untuk membayar jumlah tersebut memberi kesan kepada seramai 4,000 ahli pertubuhan tersebut.

Jelasnya, kebanyakan ahli yang juga merupakan pekebun kecil hilang pendapatan berikutan buah kelapa sawit yang dijual kepada syarikat tersebut melalui PPK Kampung Gajah tidak mendapat sebarang pulangan.

"Kami terpaksa mengeluarkan dana untuk menampung kos kerugian yang dialami oleh pekebun kecil. Tindakan itu menyebabkan kami terpaksa menghadkan aktiviti penamanan kelapa sawit di sekitar kawasan Kampung Gajah.

"Melalui tuntutan ganti rugi sebanyak RM504,994.95, kita dapat menampung semula kos yang telah dikeluarkan oleh pertubuhan sekali gus dapat melakukan pembangunan di ladang kepala sawit dan membayar dividen ahli yang terbantut sebelum ini," katanya. - K! ONLINE