Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas Xinyi Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Hong Kong membuat pengakuan tersebut bagi kesemua pertuduhan berkenaan melalui peguamnya, Jaspal Singh Gill.

Mengikut kesemua 15 pertuduhan, syarikat pengeluar panel kaca terbesar dunia itu didapati membuat potongan upah secara tidak sah terhadap 15 pekerja warga tempatan dengan nilai antara RM2.22 hingga RM4.02 setiap seorang.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat beralamat Industrial Park, Lipat Kajang, Jasin antara 7 Januari hingga 7 Mac 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 91(c) Akta Kerja 1955, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Jaspal Singh dalam rayuannya berkata, syarikat yang mula bertapak di negara ini sejak 2016 dan mempunyai lebih 500 pekerja itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesalahan berkenaan dan memberi alasan potongan dibuat sebagai pengajaran kepada pekerja yang sering datang lewat sehingga menjejaskan perjalanan operasi syarikat.

Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja, Junhamizan Zainal berkata, pihak syarikat tidak boleh memberi alasan untuk tidak mengetahui undang-undang membabitkan pekerja di Malaysia meskipun syarikat antarabangsa, justeru meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal.    

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan kemudian menetapkan denda RM500 bagi setiap pertuduhan. - K! ONLINE