Beliau berkata, jabatan itu telah mengenal pasti antara 70,000 dan 80,000 syarikat pembuatan yang akan disenaraikan di bawah SST 2.0 daripada 472,000 syarikat yang disenaraikan semasa rejim GST pada kadar enam peratus.

"Semasa proses pelaksanaan GST, selain pengilang, pemborong dan peruncit juga perlu mendaftar dengan sistem cukai tersebut.

"Bagaimanapun, dengan peralihan kepada sistem cukai SST ini, hanya pengilang dan penyedia perkhidmatan yang mempunyai nilai ambang RM500,000 setahun akan dikenakan cukai itu," katanya kepada pemberita pada taklimat 'SST Reborn! Transition from GST to SST' di sini hari ini.

Subromaniam berkata, setakat ini, jabatan itu telah melatih kira-kira 5,000 pengeluar dan akan lebih giat sebelum cukai itu dilaksanakan pada 1 September tahun ini.

Kementerian Kewangan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata, untuk memastikan peralihan yang lancar daripada GST kepada SST, jabatan itu perlu melaksanakan program bimbingan walaupun sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

Katanya, jabatan itu juga akan memuat naik 6,400 barangan yang akan dicadangkan untuk cukai jualan pada minggu depan.

Mengenai penalti kepada yang gagal membayar cukai, beliau berkata, ia telah "ditambah baik".

"Dahulu, jika disabit kesalahan, hukuman yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Katanya, kini pihak yang pertama kali membuat kesalahan itu akan didenda antara 10 hingga 20 kali jumlah cukai atau sehingga lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagaimanapun, jika kesalahan biasa, jangan bimbang kerana kami bukan jenis cengkam orang," katanya. - Bernama