Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd. Othman.

Menurut beliau, salmonella merupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen.

Kata beliau, dalam kes tertentu boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko seperti bayi, orang tua atau seseorang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum berita bertajuk “France’s Lactalis orders baby milk recall over salmonella fears” yang disiarkan pada 10 Disember 2017 oleh berita antarabangsa France 24.

“Laporan berita tersebut menyatakan syarikat terlibat iaitu LNS Lactalis Group bersama Pihak Berkuasa Kesihatan Perancis telah mengeluarkan arahan penarikan balik produk susu bayi yang disyaki terlibat dengan pencemaran Salmonella dari pasaran antarabangsa.

“Kementerian Kesihatan telah mendapat pengesahan International Food Safety Authorities Network (INFOSAN) di bawah World Health Organization (WHO) dan Kedutaan Perancis di Malaysia bahawa produk susu itu tidak dieksport ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. - Bernama