suspek tikam
                         Wari

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Kaki Bukit, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 9 malam semalam.

"Sejak insiden pada 16 November lalu itu, kami telah melancarkan gerakan memburu suspek yang didapati cuba menyembunyikan diri daripada dikesan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar melaporkan pada 16 November lalu, gara-gara berang ditinggalkan bas ekspres, seorang penumpang lelaki bertindak nekad mengejar sebelum menikam pemandu sebuah bas ekspres dalam kejadian di Stesen Bas Ekspres Bukit Lagi di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Fakhri Yahya, 33, dari Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar kerana mengalami kecederaan di bahu kiri.

Dalam perkembangan berkaitan, polis berjaya mendapatkan perintah reman menahan suspek bagi membantu siasatan kes itu di Mahkamah Kangar hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Suspek direman bermula hari ini hingga 7 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa. - K! ONLINE