Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku apabila sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang sedang menjalankan operasi di sekitar kawasan itu telah menerima maklumat daripada Pusat Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak bahawa terdapat satu cubaan pecah rumah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan tersebut kemudian membuat rondaan di kawasan sungai berhampiran taman tersebut dan ternampak tiga lelaki berpakaian serba gelap dalam keadaan yang mencurigakan.

“Ketika polis cuba menahan suspek, salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan menyerang menggunakan parang sebelum tembakan terpaksa dilepaskan oleh anggota kami.

“Seorang suspek maut terkena tembakan manakala dua lagi berjaya melarikan diri. Polis turut merampas satu senjata iaitu parang dan beberapa peralatan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usaha bagi mengesan dua lagi suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE