Suspek yang berusia 42 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tergantung di sebatang pokok di tepi sungai kira-kira pukul 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, proses pengecaman mendapati mayat tersebut merupakan suspek buruan polis dalam kejadian pada Isnin lalu.

"Polis telah menerima laporan pada 3.30 petang terdapat mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung di sebatang pokok kawasan Sungai Kuala Penangah di sini.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa merupakan suspek buruan polis bagi membantu siasatan terhadap laporan keganasan rumah tangga melibatkan seorang wanita pada Isnin lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

A. Sahak berkata, punca kematian masih dalam siasatan.

Pada Isnin lalu, seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan akibat dilempas dengan sebatang tombak sawit di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Penangah Tongod.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu dipercayai berlaku setelah suspek yang juga suami mangsa enggan memindahkan hasil buah sawit di kebun berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. - K! ONLINE