Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sukar mengesan individu terbabit kerana mereka dipercayai menggunakan identiti palsu sama ada masuk atau semasa berada di dalam negara.

"Selain itu, terdapat kemungkinan bahawa suspek menukar penampilannya dengan  memotong rambut atau mencukur janggut bagi mengelak daripada dikesan.

"Justeru, kita juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti identiti suspek bagi membantu siasatan," katanya yang mendedahkan wajah sebenar  seorang daripada suspek pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai gambar suspek berkenaan, Mohammad Fuzi berkata ia berjaya diperoleh daripada orang awam susulan penemuan sebuah motosikal digunakan dua suspek berkenaan yang ditinggalkan berhampiran Tasik Danau Kota, di sini, semalam.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya percaya suspek berkenaan telah berada di negara ini sejak Januari lepas.

Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa suspek berkenaan merupakan ejen perisikan Israel iaitu Mossad, beliau berkata pihaknya belum mengesahkan perkara itu.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu...jangan serkap jarang, biar kita siasat dulu dari semua sudut berhubung perkara ini.

"Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan mereka ini merupakan individu yang terlatih dan profesional dalam menjalankan tugas seperti itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan suspek untuk menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd. Isa di talian* 019-6992261 atau Pegawai Penyiasat Kes, ASP Shahrizal Salleh di talian 017-7134705.

Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak di sini semasa berjalan ke Surau Medan Idaman untuk solat Subuh kira-kira 6 pagi, Sabtu lepas. 

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu. - Bernama