Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pertemuan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB hari ini telah mengenal pasti tiga punca utama di sebalik kenaikan itu.

"Kita dapati kecuaian ini dari segi teknikal dan salah satu daripada punca adalah kiraan bil yang melebihi 30 hari," katanya pada sidang akhbar isu kenaikan bil eletrik di Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi ST, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan.

Bee Yin pada masa sama menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa punca kenaikan bil elektrik itu adalah disebabkan penarikan semula rebat sebanyak RM1.80/kWj pada 1 Julai tahun lalu.

"Aduan ini berlaku pada minggu dan bulan ini. Ia bukan punca untuk masalah kali ini.

"Tiada langsung apa-apa pertukaran dari segi tarif dibuat sebelum ini. Kiraan bil sahaja yang ada masalah," katanya.

Bee Yin berkata, pihaknya telah mengarahkan ST untuk menyiasat dakwaan pengguna yang terjejas secara lebih menyeluruh dan diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap TNB jika syarikat utiliti itu didapati tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990, iaitu ia perlu memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna. 

“ST boleh mengambil tindakan ke atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang termasuk pendakwaan kesalahan di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Bee Yin berkata, ST menerima sebanyak 359 aduan pada bulan Mei iaitu jauh kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding 43 aduan yang diterima pada bulan sama tahun lalu.

"Kebanyakkan aduan iaitu 286 daripadanya berkaitan meter pintar dan kenaikan bil yang tinggi," ujarnya. - K! ONLINE