Ketua Kampungnya, Mohd. Lot Abdul Hamid berkata, para penduduk bimbang sekiranya aktiviti haram tersebut tidak dihentikan, sisa galian daripada aktiviti perlombongan itu boleh mengganggu ekosistem sungai dan menjejaskan kesihatan orang kampung. 

“Kebelakangan ini, penduduk sering melihat air Sungai Kepar tercemar dan kami bersepakat untuk mencari punca pencemaran tersebut.

“Pada awalnya kami hanya menyangka air yang keruh di sungai tersebut merupakan perkara biasa selepas hujan turun namun apa yang berlaku air sungai tetap keruh pada musim panas,” katanya kepada pemberita di tapak lokasi pelombongan itu di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak, Sajeeda Muhammad dan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman. 

Jelas Mohd. Lot, hasil pemerhatian daripada penduduk kampung, mereka menemui punca pencemaran air sungai tersebut bermula daripada air kotor dari kolam takungan operasi pelombongan tersebut. 

Katanya, apa yang lebih dahsyat lagi apabila pihak pelombong turut membuat panggilan telefon kepadanya pada pukul 10 malam tadi dan mengugut supaya tidak lagi memasuki kawasan persendirian tersebut pada masa akan datang. - K! ONLINE