Watikah pemasyhuran Sultanah Kedah dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultanah Maliha kemudian melakukan istiadat menjunjung duli ke atas Sultan Sallehuddin.

Serentak itu, sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan disusuli paluan nobat.

Pada istiadat itu, Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) kepada Sultanah Maliha.

Turut berangkat ialah kedua-dua anakanda Sultan dan Sultanah Kedah iaitu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Sultanah Maliha merupakan anakanda ketiga daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Tengku Ariff Tengku Long Abdul Rahman dengan Cik Puan Rokiah Sulaiman.

Ayahanda Sultanah Maliha merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan ke-27. - K! ONLINE