Baginda bertitah, setakat ini terdapat 704 lot tanah wakaf dengan pelbagai tujuan antaranya wakaf tapak masjid; surau; tapak kubur; wakaf kepada anak yatim dan pendidikan agama di Terengganu.

Sultan Terengganu bertitah, daripada tanah-tanah wakaf itu, terdapat tanah yang berpotensi dimajukan, namun ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan Maidam kekurangan dana bagi tujuan tersebut.

"Beta mengharapkan supaya ada pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri, swasta atau institusi kewangan yang sudi tampil untuk bersama Maidam bagi membangunkan tanah-tanah wakaf yang berpotensi untuk dimajukan dan bersedia untuk bekerjasama dengan menyumbangkan dana bagi pembangunan hartanah wakaf.

"Ini demi mempertingkatkan taraf ekonomi dan kehidupan rakyat di negeri ini terutamanya rakyat miskin," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara Tahun 2016 di sini, hari ini.

Sultan Mizan bertitah, Maidam pada masa ini juga sedang mempergiatkan usaha mempromosi wakaf tunai dalam umat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah, dana wakaf tunai tersebut akan ditukar dengan aset kekal melalui pembangunan tanah wakaf sedia ada, pembelian aset yang strategik dan bernilai komersial seperti pembelian rumah kedai, pejabat atau membangunkan tanah perkilangan dan perladangan. - Bernama