Baginda bertitah, jemaah haji negara ini diharap menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

"Beta harap jemaah haji dapat mematuhi dan menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi agar tidak timbul sebarang masalah sepanjang berada di Tanah Suci.

"Gunakanlah kesempatan menjadi tetamu Allah ini dengan sebaiknya dan elakkan pembaziran masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah," titah baginda sewaktu mencemar duli menghadiri majlis pelepasan sulung jemaah haji Terengganu di sini malam tadi.

Turut berangkat mengucapkan selamat berangkat kepada 150 jemaah haji terbabit ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya. - K! ONLINE